Pekerja kedai makan didakwa miliki bahan IS

Pekerja kedai makan didakwa miliki bahan IS

Tiada pengakuan direkodkan dengan kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Ogos.

Tertuduh, Muhammad Zul Khairi Mohamad Nasir, 33, didakwa memiliki barangan berkaitan Islamic State (IS) dalam telefon bimbit. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pekerja kedai makan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth kerana memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS), pada Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Zul Khairi Mohamad Nasir, 33, mengganguk faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh masih bujang didakwa memiliki barangan berkaitan IS dalam telefon bimbit, lapor Astro Awani.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 1521 Sungai Dua, Butterworth, 9.35 pagi pada 23 Jun.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Syafinas Shabudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menetapkan 19 Ogos depan untuk perbicaraan.

Tertuduh tiba di Mahkamah Butterworth pada 8.45 pagi sambil dikawal ketat anggota polis bersenjata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.