Minyak: Manfaat ekonomi melimpah namun dikekang subsidi

Minyak: Manfaat ekonomi melimpah namun dikekang subsidi

Ahli ekonomi berkata walaupun pendapatan daripada sektor O&G memberi manfaat kepada rakyat, langkah perlu diambil untuk membendung ketirisan.

Minyak dan gas membawa manfaat yang besar kepada rakyat tetapi juga memberikan cabaran besar kepada kerajaan.
PETALING JAYA:
New Zealand pada 9 Jun lalu mengumumkan ia merancang untuk menarik balik larangan ke atas penerokaan petroleum di luar pesisir, yang dikenakan pada 2018.

Langkah itu sebahagian daripada strategi untuk menarik pelaburan, sekaligus menggariskan betapa pentingnya sektor minyak dan gas (O&G) dalam ekonomi.

Kepentingan sumber ini dalam pembangunan ekonomi tidak boleh dipandang remeh bagi negara pengeluar minyak seperti Norway, Emiriah Arab Bersatu, dan Malaysia.

Hasil minyak membiayai projek-projek prasarana dan sosial berskala besar dan kecil di banyak negara, termasuk Malaysia.

Minyak dan gas menjana pendapatan sebanyak USD4.3 trilion (RM19.8 trilion) di seluruh dunia pada 2023, menurut penyedia perkhidmatan penyelidikan pasaran, IBISWorld.

Minyak dan gas antara penjana pendapatan terbesar di Malaysia, menyumbang pendapatan sehingga RM300 bilion setiap tahun untuk negara.

Kerajaan menggunakan hasil cukai yang diperoleh daripada minyak dan gas untuk melabur dalam pelbagai projek, antaranya pendidikan, penjagaan kesihatan, prasarana, dan program kebajikan.

Syarikat minyak negara, Petronas, secara langsung membuat sumbangan kepada banyak projek sosial, menurut Yugendran Sivakumaran, seorang penganalisis di Bait Al Amanah, sebuah institut penyelidikan.

“Sebagai contoh, ia melabur berjuta-juta dalam sistem pendidikan di Malaysia,” katanya kepada FMT.

Kesan limpahan

Penemuan minyak juga membawa kepada pembangunan industri huluan dan hiliran.

Sebagai contoh, banyak syarikat terlibat dalam penerokaan, seperti Hibiscus Petroleum, yang mempunyai kontrak perkongsian pengeluaran di Sabah melalui anak syarikatnya, SEA Hibiscus Sdn Bhd; dan Eversendai Engineering, yang mana anak syarikatnya, Eversendai Offshore, mengkhusus dalam projek fabrikasi kompleks untuk sektor O&G.

Di peringkat hiliran, banyak syarikat terlibat dalam segmen jualan dan pengedaran.

Antaranya Gas Malaysia, yang mengedarkan gas asli kepada pelanggan kediaman, komersial, dan perindustrian.

Syarikat lain menyediakan logistik serta perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, dan pembinaan.

Sebagai contoh MISC Bhd, yang mengendalikan kapal-kapal gas asli cecair, petroleum dan produk, mengkhusus dalam pengangkutan tenaga.

Kebanyakan industri ini tidak akan dibangunkan jika bukan kerana sektor O&G, kata Yugendran.

Negeri bukan pengeluar minyak seperti Johor juga mendapat manfaat.

Ahli ekonomi, Niaz Asadullah, berkata Johor Bahru yang muncul sebagai pusat ekonomi kedua negara, kini boleh memanfaatkan sektor O&G untuk menjadi hab penyimpanan dan perdagangan serantau.

Beliau memberitahu FMT, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura juga akan mewujudkan peluang baharu untuk negeri itu.

“Kerjasama dengan Singapura, peneraju global dalam pematuhan kriteria Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus, juga boleh membantu membangunkan kluster petrokimia yang mesra alam dan ekonomi hijau,” katanya.

Asadullah, yang merupakan felo bersekutu di Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial di Universiti Malaya, berkata hasil daripada sektor O&G juga telah dilaburkan untuk membina modal insan.

“Ini telah menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang ketara dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Penyasaran subsidi

Hasil minyak bukan sahaja membolehkan kerajaan mengekalkan cukai peribadi dan lain-lain antara yang terendah di Asia Tenggara tetapi juga telah membantu mengekalkan harga barang keperluan melalui subsidi.

Bagaimanapun, kenaikan kos, inflasi, dan faktor-faktor lain kini menyebabkan dasar tersebut perlu difikirkan semula.

Untuk renungan, kerajaan membelanjakan RM14.3 bilion untuk subsidi bahan api pada 2023, meningkat 10 kali ganda daripada RM1.4 bilion pada 2019.

Tetapi Malaysia kini mengikut langkah-langkah negara pengeluar minyak lain untuk menyasar semula subsidi.

Pengeluar minyak utama di Afrika, seperti Nigeria, Ghana, dan Kenya telah menghapuskan subsidi minyak.

Di Nigeria, harga pam meningkat hampir tiga kali ganda kepada USD1.21 (RM5.70), di Ghana USD1.16 (RM5.46), dan di Kenya USD1.36 (RM6.40).

Di Norway, pengeluar minyak utama di Eropah, harga purata petrol ialah €1.72 (RM8.66) seliter, termasuk cukai jalan, karbon, dan jualan.

Di Malaysia, subsidi diesel untuk pemilik kenderaan persendirian ditarik pada 10 Jun, menaikkan harga pam daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter.

Rasional

Keputusan untuk mengamalkan mekanisme subsidi bersasar mendapat sokongan meluas.

Antara kumpulan yang menyuarakan sokongan kepada penyasaran subsidi ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Presiden Mohideen Abdul Kader pada 12 Jun memberitahu Bernama bahawa subsidi mestilah bagi mereka yang memerlukan.

“Bukan bagi semua orang tanpa mengira status ekonomi mereka,” katanya.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata dasar untuk mengurangkan atau menarik balik subsidi akan mengurangkan perbezaan harga di kawasan-kawasan sempadan.

Harga bahan api yang rendah di Malaysia telah menggalakkan penyeludupan komoditi itu ke negara-negara jiran di mana harganya jauh lebih tinggi.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan ketika mengumumkan penyasaran itu berkata subsidi bahan api telah menyebabkan kerajaan mengalami ketirisan berbilion ringgit selama ini.

Kerajaan dijangka dapat membuat penjimatan sehingga RM4 bilion setahun dengan penyasaran subsidi ini.

Amir berkata penjimatan akan digunakan untuk menyediakan prasarana awam yang berkualiti dan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.