5 mengaku tak salah sebabkan kematian rakan di kolam renang

5 mengaku tak salah sebabkan kematian rakan di kolam renang

Mereka didakwa gopoh atau cuai menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 38 tahun.

Lima tertuduh itu juga mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis THC dalam badan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lima mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson atas dakwaan menyebabkan kematian rakan di kolam renang, di sebuah hotel, di Port Dickson, minggu lalu.

Tertuduh, D Maharaj, 36, B Shanmugaservai, 34, Faezatun Firus Arifin, 42, R Praveena, 31, dan S Suvipra, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 38 tahun dengan melakukan satu perbuatan gopoh atau cuai, lapor Harian Metro.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 2 pagi, 13 Julai.

Sehubungan itu, semua dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal, manakala tertuduh Maharaj, Shanmugaservai, Faezatun, dan Suvipra diwakili peguam, Wan Shahir Azmir Wan Mohd Razi dan seorang lagi tertuduh Praveena diwakili peguam, Shamsul Sulaiman.

Nadia Ezzati sebelum itu memohon mahkamah mengenakan jaminan RM8,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Beliau turut memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan bagi penyediaan laporan kimia, forensik, dan bedah siasat.

Peguam Wan Shahir Azmir memohon mahkamah mengenakan wang jaminan rendah terhadap empat anak guamnya susulan masing-masing mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM 4,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Sementara itu, dalam kamar sama, semua tertuduh turut berhadapan dakwaan memasukkan dadah jenis THC dalam badan minggu lalu.

Kesalahan itu dilakukan di IPD Port Dickson antara 12.20 pagi hingga 1 pagi, 14 Julai.

Bagaimanapun, semua tertuduh tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan.

Bagi kesalahan itu, semua dibenarkan jaminan RM2,000 bagi setiap seorang dan tarikh sebutan semula kedua-dua kes tersebut bagi laporan berkaitan adalah pada 3 Sept ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.