
Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim, berkata inisiatif pemberian WPP dibuat bagi memastikan tiada pelajar tercicir ke IPTA dan Politeknik kerana masalah kewangan.
“Inisiatif pemberian WPP ini adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar dan ibu bapa kerana kita percaya tidak semua mampu menghantar anak-anak ke IPT kerana memerlukan sumber kewangan yang tinggi.
“Gunalah peluang yang diberikan ini sebaik mungkin dan tunjukkanlah rasa terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan kepada negara,” katanya selepas menyempurnakan penyerahan WPP.

Sementara itu, PTPTN memaklumkan WPP diberikan kepada pelajar warga Malaysia yang memberikan persetujuan menerima inisiatif berkenaan semasa membuat permohonan kemasukan IPTA dan Politeknik melalui UPUOnline atau portal kemasukan IPTA.
Kataya, selain itu ibu bapa atau penjaga pelajar juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan ditetapkan.
“Sejak WPP diperkenalkan pada 1999 hingga 30 Jun 2024, seramai 980,107 pelajar menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.45 bilion,” katanya.
Bagi kemasukan pelajar peringkat diploma ke IPTA dan Politeknik sesi Julai 2024, seramai 34,346 pelajar ditawarkan WPP melibatkan peruntukan berjumlah RM51.5 juta.
Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan menunaikannya di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad di seluruh negara mulai 18 Julai.