
Dalam serbuan semalam, pasangan suami isteri ditahan bersama 44.93kg kokain dianggarkan bernilai RM9 juta untuk pasaran luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Khaw Kok Chin, berkata serbuan hasil kerjasama pihaknya dengan Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat.
Katanya, serbuan pertama di apartmen berkenaan menahan seorang lelaki berusia 41 tahun berperanan sebagai penghantar dan isterinya, 41, iaitu penjaga bekalan serta ‘tukang masak’ kokain.
“Selain 44.93kg kokain, kami turut merampas 52.5 liter cecair kimia (‘ibu kokain’) yang diletakkan dalam botol wain.
“Rumah itu disewa RM2,350 sebulan untuk dijadikan stor dan makmal memproses kokain sejak Februari lalu,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, menurut Kosmo.
Susualan tangkapan, beliau berkata satu lagi serbuan dijalankan di sebuah pangsapuri di Cheras, dan seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan.
Katanya, lelaki itu berperanan sebagai penghantar dan polis merampas 1kg serbuk kimia dipercayai digunakan untuk memproses kokain di rumah berkenaan.
“Kami turut menyita pelbagai aset sindiket membabitkan wang tunai, barang kemas, kenderaan serta jam tangan berjenama dianggarkan bernilai RM201,086 bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” katanya.
Menurutnya, sindiket itu yang aktif sejak awal tahun ini menjadikan kediaman sebagai tempat memproses dan menyimpan kokain sebelum diedar untuk pasaran luar negara menggunakan pengangkutan udara.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati hanya suspek ketiga positif dadah jenis ketamin, turut memiliki lapan rekod jenayah dan dadah.
“Suami isteri itu direman tujuh hari bermula semalam hingga 23 Julai, manakala suspek ketiga direman empat hari hingga 20 Julai ini,” katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.