‘Sedia bayar denda RM100 juta,’ Akmal beritahu Jailani

‘Sedia bayar denda RM100 juta,’ Akmal beritahu Jailani

Dr Akmal Saleh mendakwa mengikut perjanjian ditandatangani calon BN pada PRN Melaka 2021, mereka yang melompat parti perlu membayar denda.

Dr Akmal Saleh membidas Muhamad Jailani Khamis yang cuba mengambil kredit atas kejayaan Umno kembali memerintah Melaka.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mendakwa Adun Rembia Muhamad Jailani Khamis perlu membayar RM100 juta kerana melanggar perjanjian ditandatangani ketika menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka 2021.

Adun Merlimau berkata, mengikut perjanjian terbabit mereka perlu membayar denda itu jika melompat parti.

“Jailani mungkin terlupa semua calon BN ada menandatangani perjanjian ketika ingin menjadi calon pilihan raya lepas, iaitu seseorang akan didenda RM100 juta jika lompat parti.

“Jadi nasihat saya dah boleh sedia duit bayar denda dan lawan PRK Rembia (jika ada),” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengumumkan Jailani yang digantung keahlian Umno, diterima menyertai parti itu pada 10 Jun 2023, sebelum akta antilompat parti dikuatkuasakan di Melaka.

Akmal antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik Jailani dan mempersoalkan tindakan PAS menerimanya, selepas membantah keputusan speaker Dewan Rakyat mengekalkan kedudukan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, minggu lalu.

Beliau berkata, tindakan Jailani menyertai PAS tidak memberi kesan langsung kepada Umno Melaka dan sedia berdepan parti itu serta Perikatan Nasional (PN), jika PRK diadakan di DUN Rembia.

Sementara itu, Akmal juga membidas bekas pemimpin PKR tersebut yang didakwa cuba ‘ambil kredit’ kejayaan Umno kembali mentadbir Melaka, termasuk menawan DUN Merlimau diwakilinya kini.

“Dia kena sedar diri. Saya jadi wakil rakyat bukan kerana dia, tetapi atas sokongan rakyat kawasan DUN Merlimau dan juga parti saya.

“Ketika PRN Melaka dulu, Barisan Nasional (BN) menang 21 kerusi daripada 28 kerusi. Jika tolak dia seorang pun masih boleh membentuk kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.