
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata pertuduhan itu dibuat berdasarkan bukti diperoleh ketika siasatan.
“Bukti paling kuat yang kami ada membolehkan pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 14 (Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955),” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur.
Beliau berkata RM100 adalah denda maksimum diperuntukkan bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Selasa lalu, P Shalini didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah berkelakuan menghina dengan niat untuk menimbulkan kemarahan dan mengganggu ketenteraman.
Susulan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyuarakan rasa kecewa dengan denda RM100 dikenakan terhadap wanita terbabit dan mencadangkan kerajaan mengkaji semula definisi buli siber serta denda bersesuaian.
Rusdi berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk menyiasat, jika menerima laporan dan petunjuk baharu.
“Sama ada wujud bukti atau tidak, kita akan rujuk untuk pertuduhan. Mereka yang terbabit akan dipanggil memberi keterangan, bergantung kepada kesesuaian masa.”