
Kumpulan lelaki dieksploitasi itu terdiri daripada 24 warga Bangladesh dan dua warga India.
Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris berkata sebuah bangunan di Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang diserbu sepasukan polis dari IPD Bagan Datuk yang Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang sekitar 1.30 pagi Selasa lalu.
Katanya, pemeriksaan menemui seorang lelaki tempatan 52 tahun dan seorang warga Bangladesh 35 tahun berperanan “penjaga” pekerja asing dieksploitasi itu dan turut mendiami bangunan terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui 26 lelaki berumur 22 hingga 51 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa serta tidak dibayar gaji.
“Soal siasat awal turut membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan 32 tahun disyaki terbabit aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPK Perak, Ipoh.
Beliau berkata, semua warga asing diselamatkan itu tiba di Malaysia lapan hari sebelum serbuan dan mereka disyaki akan dihantar bekerja di ladang berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.