Wanita rugi lebih RM100,000 tertipu tawaran kerja

Wanita rugi lebih RM100,000 tertipu tawaran kerja

Mangsa berusia 41 tahun terpedaya dengan tawaran itu menerusi aplikasi WhatsApp.

Menurut polis, mangsa melakukan 10 transaksi ke lima akaun berbeza yang diberikan dengan jumlah keseluruhan modal RM105,650 sebelum menyedari ditipu.
JOHOR BAHRU:
Seorang wanita mendakwa kerugian RM105,650 selepas terperdaya dengan tawaran pekerjaan secara dalam talian tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp, Rabu lepas.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh, berkata mangsa yang berusia 41 tahun telah menerima satu pautan yang menawarkan peluang pekerjaan secara dalam talian daripada ‘Luxe Legacy’, selain menjanjikan komisen bagi setiap tugasan yang disiapkan.

Beliau berkata tawaran itu menjanjikan pulangan modal sebanyak 10 hingga 15% daripada modal yang dilaburkan.

“Mangsa yang tertarik dengan komisen serta tugas mudah yang ditawarkan telah mendaftar sebelum melakukan 10 transaksi ke lima akaun berbeza yang diberikan dengan jumlah keseluruhan modal RM105,650, bermula Khamis hingga Sabtu lepas.

“Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila mendapati laman web terbabit dan segala perbualan telah disekat sebelum membuat laporan polis, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan juga meliputi sama ada wujud penglibatan keldai akaun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.