
Naib Canselornya Prof Md Amin Md Taff berkata, bantuan itu sedikit sebanyak diharap dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan, khususnya dalam menyelesaikan urusan dengan pelbagai pihak.
“Pihak UPSI menyediakan kemudahan penginapan serta kenderaan bagi keluarga mangsa untuk memudahkan urusan ke hospital, balai polis, mahkamah dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.
“(Kami) turut menyediakan beberapa bas bagi petugas dan pelajar yang ingin mengiringi jenazah ke tanah perkuburan sebagai tanda penghormatan serta sokongan kepada (Nur Farah Kartini).
Pada Isnin, mayat Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang.
Mangsa dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, setelah menghantar kereta sewa kepada pelanggan.
Sementara itu, Md Amin berkata, pihaknya amat menitikberatkan nilai ukhuwah sebagai antara kaedah memastikan kebajikan setiap warga UPSI terbela.
“UPSI merupakan universiti yang unik kerana setiap warga yang mencurahkan bakti di universiti ini dianggap sebagai aset yang sangat berharga,” katanya.