Sim arah HRD Corp tarik balik surat tuntutan terhadap The Edge

Sim arah HRD Corp tarik balik surat tuntutan terhadap The Edge

Menteri sumber manusia tidak setuju dengan tindakan HRD Corp.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim pada sidang media di Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Menteri Sumber Manusia Steven Sim mengarahkan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) menarik balik surat tuntutan terhadap The Edge, yang membuat laporan berkaitan penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap agensi itu.

Sim berkata, beliau mengarahkan HRD Corp berbuat demikian semalam dan menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan ke atas media.

“Saya ingatkan dan menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan saman media. Saya percaya dengan tegas kebebasan media di negara ini. Ini prinsip saya sebelum menjadi kerajaan.

“Bila dapat maklumat perkara itu saya arahkan HRD Corp tarik balik, saman itu ditarik balik semalam sebelum PAC buat sidang media. Terima kasih atas ketegasan PAC,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

HRD Corp sebelum ini mengancam akan mengemukakan saman terhadap syarikat penerbitan akhbar itu, Edge Communications Sdn Bhd dan seorang penulisnya.

Dalam tuntutannya, HRD Corp meminta artikel berkaitan diturunkan dan syarikat penerbitan itu membuat permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan di akhbar serta laman web The Edge dalam tempoh 48 jam dari tarikh surat tuntutan.

LKAN 2024 sebelum ini mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan susulan kegagalan syarikat itu dalam auditnya.

Turut dilaporkan terdapat tindakan dan keputusan diambil pengurusan HRD Corp yang tidak mematuhi prosedur serta tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

PAC turut mendedahkan panel pelaburan HRD Corp tidak melaporkan aktiviti pelaburan kepada lembaga pengarahnya, dengan levi dikutip ‘secara agresif’ digunakan untuk pelaburan berisiko tinggi.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil beberapa dokumen di pejabat agensi berkenaan untuk siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.