
Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Mohd Asri Mohd Yunus, ketika dihubungi Bernama berkata proses mencari bahan bukti akan dimulakan sekitar 9 pagi di kawasan parit berhampiran ladang kelapa sawit berkenaan.
“Kita akan cari telefon pintar miliknya (mangsa) serta rantai dan beberapa barang lain lagi yang dipercayai boleh dijadikan bahan bukti dan menjadi petunjuk kes,” katanya.
Kelmarin, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan memaklumkan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang Rabu lepas ditemukan mati di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada 6 petang.
Mangsa yang berasal dari Miri, Sarawak merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan bekerja dengan sebuah syarikat kereta sewa di Tanjung Malim, Perak, dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan.
Terdahulu, seorang anggota polis berpangkat lans koperal berusia 26 tahun direman seminggu bermula semalam untuk membantu siasatan kes pembunuhan Nur Farah Kartini.