Kelantan buka kilang paip HDPE pertama

Kelantan buka kilang paip HDPE pertama

Pembangunan kilang ini dijangka mengatasi masalah bekalan air di negeri itu, kata timbalan MB.

Antara punca masalah bekalan air di Kelantan ialah paip yang sudah terlalu lama dan kecekapan sumber manusia tidak dimanfaatkan sepenuhnya, kata Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Sebuah kilang paip ‘High Density Polythylene’ (HDPE) yang pertama dibuka di Kelantan sekali gus dijangka mengatasi masalah bekalan air di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan berkata, ini selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu ‘Non Revenue Water” yang sangat kritikal sehingga menjejaskan bekalan air bersih dan terawat di seluruh negeri.

Beliau berkata, kilang HDPE Kel Intaaj Sdn Bhd dimiliki oleh Kelantan Utilities Mubarakan (KUM) yang juga syarikat induk Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

“KUM mengadakan usaha sama dengan syarikat yang prominen dalam sektor pembuatan paip HDPE, iaitu Duramine Sendirian Berhad,” katanya.

Mohamed Fadzli berkata, antara jabatan dan syarikat yang menggunakan paip keluaran kilang Duramine ialah Pengurusan Aset Air Berhad, Syarikat Air Negeri Sembilan dan Air Selangor Sendirian Berhad.

Kilang Kel Intaaj telah memperoleh ‘Certificate of Completion and Compliance’ dan kelulusan Lesen Pengilang daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

“Bangunan kilang paip Kel Intaaj ini berkeluasan 34,744 kaki persegi dan tanah tapak kilang ini berkeluasan 1.7 hektar yang dipajak daripada Perbadanan Menteri Besar Kelantan,” katanya.

“Kami juga telah menjalankan ‘Current State Assessment’ ke atas AKSB dan mendapati antara punca masalah bekalan air di Kelantan ialah paip yang sudah terlalu lama dan kecekapan sumber manusia tidak dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, pengoperasian kilang ini bukan sahaja menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan mutu khidmat bekalan air bersih malah usaha untuk menarik pelaburan sekali gus merancakkan ekonomi Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.