
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata menerusi draf pelan pembangunan yang ditelitinya mendapati ada pembangunan bercampur di kawasan berkenaan yang memerlukan pihak bertanggungjawab mewujudkan zon penampan.
“Taman Persekutuan Bukit Kiara adalah taman hijau yang sangat besar di Segambut dan telah diwartakan sebagai taman persekutuan pertama di Kuala Lumpur pada 2020.
“Jadi permintaan penduduk, DBKL perlu mewujudkan jarak penampan, Kalau tiada dibimbangi pembangunan akan berada berdekatan dengan kawasan itu,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Persekutuan pada April 2023 juga telah menolak perintah pembangunan diberikan oleh DBKL bagi cadangan pembangunan projek kediaman di kawasan itu.
Beliau berkata Kabinet pula telah memutuskan keutamaannya mengekalkan rumah panjang terletak empat ekar dari Taman Rimba Kiara, secara langsung menunjukkan tiada pembinaan dibenarkan di kawasan terbabit.
“Keputusan ini penting untuk beri panduan kepada DBKL bagi pembangunan di kawasan tersebut,” katanya yang juga menteri belia dan sukan.