Halusi gaji premium TVET antara cadangan dimuktamad JTDC

Halusi gaji premium TVET antara cadangan dimuktamad JTDC

Langkah ini agar tawaran gaji di Johor dapat bersaing dengan tawaran negara jiran, kata Zahid Hamidi.

tvet
Cadangan memperhalus gaji premium bagi graduan TVET dijangka mampu diperluas ke negeri lain, kata Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara Zahid Hamidi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Beberapa cadangan dimuktamad pada Mesyuarat Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) berhubung strategi meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir, sekali gus membantu menangani isu ketidaksepadanan permintaan dalam industri itu, terutama di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata, antara cadangan yang dimuktamad termasuk menghalusi gaji premium bagi graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) oleh syarikat yang telah atau akan melabur di JS-SEZ.

Bagaimanapun, pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara itu berkata, jumlah tawaran gaji tertakluk kepada perbincangan yang akan diadakan oleh Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi bersama pemain industri di negeri itu.

“Langkah ini supaya dapat bersaing dalam aspek penawaran gaji minimum, kalau tidakpun setara, menarik berbanding tawaran negara jiran,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat JTDC di bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, cadangan memperhalus gaji premium bagi graduan TVET dijangka mampu diperluas ke negeri lain.

Cadangan lain termasuk penganjuran pameran kerjaya untuk pekerjaan dalam bidang tenaga mahir supaya mampu mengisi kelompongan antara permintaan industri dengan permohonan graduan.

“Contohnya, terdapat 74,710 kekosongan jawatan tetapi yang memohon hanya 51,946 … ada pekerjaan tetapi orang yang memohon tiada, perkara ini mesti diatasi,” katanya.

Beliau berkata, pameran TVET juga bakal dilaksana oleh pelbagai pihak antaranya Majlis Amanah Rakyat, Kementerian Pendidikan dan 108 institusi TVET di Johor untuk mempromosi kursus yang ditawarkan.

Zahid berkata, bagi memastikan setiap cadangan mencapai matlamat, Jawatankuasa Pelaksana JTDC akan ditubuh, diterajui oleh Zambry, bagi mengkoordinasi serta memperhalus gerak kerja secara berterusan.

“Ini pertama kali kerajaan persekutuan membuat mesyuarat koordinasi khusus untuk sebuah negeri,” katanya.

“Ini bukannya agenda negeri sahaja. Kita berpendapat ini agenda nasional yang harus didukung kerajaan persekutuan untuk membantu perkembangan pembangunan ekonomi di zon ekonomi khas ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.