3 pengurus firma guaman direman bantu siasatan rasuah

3 pengurus firma guaman direman bantu siasatan rasuah

Semua suspek direman selama enam hari berhubung siasatan memberi rasuah kepada pegawai bank untuk urusan pinjaman hartanah.

macc
Tiga individu terdiri daripada pengurus dan pemilik firma guaman itu ditahan ketika hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Melaka semalam.
MELAKA:
Tiga individu yang merupakan pengurus dan pemilik beberapa firma guaman di Melaka dan Lembah Klang masing-masing direman lima dan enam hari bagi membantu siasatan berhubung pemberian wang suapan kepada pegawai bank di sebuah bank di Melaka berjumlah kira-kira RM12,072.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membenarkan permohonan reman itu selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia 41 hingga 43 tahun itu disyaki memberi suapan dalam membantu memberikan rujukan kes kepada firma guaman terlibat untuk urusan dokumentasi pinjaman hartanah daripada institusi kewangan berkenaan.

Mereka ditahan antara 11 pagi hingga 2 petang ketika hadir membantu siasatan di pejabat SPRM Melaka semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Media sebelum ini melaporkan SPRM menahan 12 individu berkaitan kes berkenaan termasuk pengurus firma guaman, peguam dan pegawai bank institusi kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.