Warga Thai mengaku tak salah seleweng 322 liter diesel

Warga Thai mengaku tak salah seleweng 322 liter diesel

Witthaya Choochien, 29, didakwa memiliki bahan bakar itu dalam tangki tambahan sebuah lori di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam.

Tertuduh dibenar ikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Warga Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyeleweng 322 liter minyak diesel, minggu lalu.

Witthaya Choochien, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Thai di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Pemandu lori itu didakwa memiliki barang kawalan iaitu 322 liter minyak diesel tanpa lesen, dalam tangki tambahan sebuah lori bernombor pendaftaran Thailand di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, kira-kira 6.05 pagi, pada 11 Julai.

Bagi perbuatan itu Witthaya telah melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Siti Nurdinasafira Mohd Sakri memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Lim Wei Yong yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum memandangkan anak guamnya perlu menyara seorang isteri dan dua orang anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan dan menetapkan 9 Sept sebagai tarikh serahan laporan kimia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.