Saya tak fitnah Guan Eng, cuma jelas siasatan SPRM, kata Muhyiddin

Saya tak fitnah Guan Eng, cuma jelas siasatan SPRM, kata Muhyiddin

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau hanya memberi penjelasan kepada pihak media mengenai soalan berkaitan projek Jana Wibawa dan Yayasan Albukhary.

muhyiddin yassin
Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk menghadiri hari kedua perbicaraan kes saman difailkan bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng berhubung isu pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau tidak memfitnah Lim Guan Eng berhubung isu pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary.

Sebaliknya, bekas perdana menteri itu berkata, beliau hanya memberi penjelasan kepada pihak media mengenai soalan berkaitan projek Jana Wibawa dan Yayasan Albukhary ditanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas siasatan dijalankan terhadapnya pada 9 Mac tahun lepas.

“Saya hanya menjelaskan kedudukan dan apa yang berlaku pada diri saya. Saya tidak mempunyai sebarang niat jahat, malah kenyataan itu bukan ditujukan kepada plaintif (Lim), sebaliknya menjelaskan perkara sudah berlaku,” katanya ketika membaca pernyataan saksinya pada hari kedua perbicaraan kes saman Lim terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu berhubung pembatalan pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

“Perkara itu tentu telah berlaku semasa Pakatan Harapan merupakan kerajaan dan pada masa itu plaintif adalah menteri kewangan. Saya tidak menuduh atau memfitnah beliau (Lim), saya cuma merujuk kerajaan ketika itu Pakatan Harapan dan hakikatnya plaintif merupakan menteri kewangan.”

Muhyiddin berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan menteri kewangan bertanggungjawab terhadap keputusan diambil jabatan di bawahnya.

“Oleh sebab itu, apabila saya menerima surat daripada Yayasan Albukhary, saya telah meminitkan surat kepada Tengku Zafrul Aziz kerana beliau adalah menteri kewangan pada masa itu.”

Ditanya peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Lim, Muhyiddin bersetuju dalam surat rayuan daripada Yayasan Albukhary tidak menyatakan Lim tidak mengiktiraf pengecualian cukai tersebut.

“Namun pada pemahaman saya, ketika Yayasan Albukhary tidak diiktiraf pengecualian cukai, menteri kewangannya adalah Lim Guan Eng,” kata Muhyiddin.

Lim pada 27 Mac 2023 memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023. Laporan mengenai perkara itu kemudiannya diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu turut mendakwa kenyataan fitnah itu bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai serta penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.

Perbicaraan di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.