PH Johor sedia kemungkinan keputusan kerjasama Umno

PH Johor sedia kemungkinan keputusan kerjasama Umno

Aminolhuda Hassan berkata pihaknya sedia berdepan kemungkinan susulan usul Umno Tenggara supaya hubungan PH-BN dikaji semula menjelang PRU16.

AMINOLHUDA-HASSAN
Aminolhuda Hassan berkata Umno boleh bertanding lebih 80 kerusi jika meneruskan kerjasama dengan PH pada PRU16. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) Johor sedia berdepan sebarang kemungkinan berhubung kerjasama dengan Umno pada PRN dan PRU16, susulan wujud gesaan hubungan dalam kerajaan perpaduan dikaji semula.

Mengulas usul Umno Tenggara itu, Ketuanya Aminolhuda Hassan berkata pihaknya yang menguasai 14 kerusi Parlimen dan 12 DUN yakin dengan kemampuannya, namun menunggu kata putus daripada pimpinan untuk tindakan susulan.

Menurutnya, ini kerana usul Umno Tenggara belum boleh dianggap pendirian tetap parti yang memerlukan perbincangan serta persetujuan pimpinan.

“Ikatan dalam PH Johor tetap utuh dan akan terus berbakti kepada rakyat Johor dengan penuh tanggungjawab melalui 14 kerusi Parlimen dan 12 DUN dimenangi pada PRU15 dan PRN.

“Rakyat boleh menilai dan perbandingan terhadap perkhidmatan semua Ahli Parlimen dan Adun PH berbanding yang lain,” katanya kepada FMT.

“Kita yakin bangsa Johor tidak terikut-ikut rentak atau tarian politikus memainkan isu perkauman dan agama apabila mengundi pada PRU16 dan PRN.”

Sabtu lalu, mesyuarat Umno Tenggara diketuai bekas menteri kesihatan Dr Adham Baba meluluskan tiga usul antaranya meminta pimpinan mengkaji hubungan dengan PH terutama DAP dalam kerajaan perpaduan menjelang PRU16.

Pada 30 Jun lalu, Presiden Umno Zahid Hamidi dilaporkan berkata Barisan Nasional (BN) akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16 namun bertanding menggunakan lambang sendiri.

Mengulas lanjut, Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata Umno boleh bertanding lebih 80 kerusi Parlimen jika meneruskan kerjasama pada PRU16 dan masa kini bersama meningkatkan keyakinan dengan mentadbir secara baik.

“Kerjasama antara PH-BN (kini) demi kestabilan politik yang membawa kepada pemulihan ekonomi negara dan kesatuan rakyat terdiri pelbagai kaum serta agama,” katanya.

Katanya, dalam konteks politik masa kini semua parti pernah menjalinkan kerjasama walaupun dalam masa singkat termasuk Umno yang membentuk kerajaan bersama PAS serta Bersatu dari 2020 hingga 2022.

“Umno pernah bersama PAS dan Bersatu selepas ‘Langkah Sheraton’ yang jatuhkan PH. PAS pun bersama DAP dalam Pakatan Rakyat manakala Bersatu dengan DAP selepas PRU14.

“Semua parti dalam Malaysia sudah mengenali hati budi rakan atau lawan masing-masing kerana pernah membentuk kerajaan walaupun dalam waktu singkat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.