
Pada sidang akhbar, Pan Gon berkata, beliau meninggalkan tugas melatih pasukan bola sepak kebangsaan itu atas komitmen peribadi.
Kontrak jurulatih dari Korea Selatan itu sepatutnya tamat hujung 2025, dan susulan peletakan jawatannya, Pau Marti Vicente akan mengambil alih tugasnya sebagai pemangku.
Menurut Pan Gon, pencapaian pasukan itu sepanjang tempoh beliau berkhidmat adalah atas sokongan tidak berbelah bahagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan penyokong Harimau Malaya, selain dedikasi barisan jurulatih.
“Harapan saya agar FAM, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia akan terus menyokong dan menggalakkan pasukan negara mencapai matlamat layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut,” katanya.
Sejak awal lagi, katanya, beliau menyasarkan untuk mewujudkan falsafah bola sepak proaktif untuk pasukan kebangsaan Malaysia, memberi tumpuan kepada mengawal dan mendominasi permainan.
Beliau juga menzahirkan penghormatan terhadap pemain kebangsaan, yang menurutnya telah membina watak dan mentaliti yang kuat, dicerminkan dalam permainan.
“Seumur hidup saya, saya akan sentiasa ingat langit biru Malaysia, awan dan pokok; rakyat Malaysia yang peramah dan menyenangkan; rasa nasi lemak; dan bau durian, semuanya saya suka.
“Kini, sebagai separuh orang Malaysia, saya akan sentiasa sokong pasukan (bola sepak) kebangsaan Malaysia dan berasa bangga dengan Malaysia ke mana saja saya pergi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden FAM Yusoff Mahadi berkata, Pan Gon ialah satu-satunya ahli yang akan meninggalkan barisan jurulatih, dan Pau akan disokong oleh penolong ketua jurulatih E Elaravasan.
“Ini bermakna seluruh pasukan akan kekal, kecuali Jurulatih Kim (Pan Gon). Semua jurulatih lain akan kekal dalam jawatan mereka,” kata Yusoff.
Pada Mac, Bernama memetik sumber melaporkan, Pan Gon dan barisan jurulatih bersedia meninggalkan Harimau Malaya susulan pencapaiannya yang kurang memberangsangkan.
Pan Gon, 55, bagaimanapun menafikan laporan itu yang dikatakan tidak tepat, sambil menyatakan ‘misi bersama skuad Harimau Malaya belum berakhir’.
Pan Gon membawa pasukan bola sepak negara layak secara merit ke Piala Asia selepas 42 tahun, selain berjaya meningkatkan ranking Harimau Malaya daripada kedudukan 154 kepada 130 dunia.