2 didakwa buli pempengaruh TikTok

2 didakwa buli pempengaruh TikTok

Lelaki dan wanita mengaku bersalah masing-masing atas tuduhan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

B Sathiskumar dan P Shalini dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi.
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki dan wanita didakwa di mahkamah berasingan kerana terbabit kes buli siber terhadap pempengaruh TikTok, A Rajeswary atau dikenali sebagai Esha.

Pemandu lori, B Sathiskumar, 43, dituduh mengeluarkan kenyataan lucah dengan niat melukakan perasaan orang lain menerusi akaun TikTok Dulal Brothers 360 yang dibaca pada 30 Jun lalu, jam 10.12 malam di Sentul.

Sathiskumar mengaku bersalah selepas tuduhan itu dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit dengan kesalahan.

Di mahkamah berasingan, P Shalini didenda RM100 selepas mengaku bersalah terbabit dalam perbuatan menghina dengan niat untuk menimbulkan kemarahan dan mengganggu ketenteraman.

Majistret MS Arunjothy menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar rayuan Shalini di Mahkamah Majistret.

Shalini yang bekerja di rumah jagaan orang tua, dituduh membuat kenyataan menghina menerusi akaun TikTok alphaquinnsha, pada 4 pagi, 1 Julai lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Esha, 29, ditemui maut di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat laporan polis terhadap dua individu yang memfitnahnya di TikTok.

Sathiskumar, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas satu lagi tuduhan mengeluarkan kenyataan untuk mengaibkan dan menggangu kesantunan seorang wanita R Puspa menerusi akaun TikTok Dulal Brothers 360 pada tarikh, waktu dan di tempat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga lima tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Sabri Othman memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang tinggi bagi memastikan tertuduh hadir sepanjang perbicaraan, dengan mempertimbangkan kenyataan Rajeswary mengalami kemurungan teruk dan ditemui meninggal dunia selepas tertuduh mengeluarkan kenyataan itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tuduhan.

Sathiskumar yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia akan melantik peguam.

Hakim menetapkan 16 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.