Kes keropok beracun: Reman lelaki disambung 2 hari

Kes keropok beracun: Reman lelaki disambung 2 hari

Perintah reman enam hari lelaki 33 tahun itu bermula Khamis lalu tamat hari ini.

Seorang lelaki dipercayai pemilik kebun dibawa ke Mahkamah Sesyen Kulim pada 11 Julai lalu untuk permohonan reman kali pertama. (Gambar Bernama)
KULIM:
Reman seorang lelaki disyaki terbabit kejadian dua beradik termakan keropok beracun baru-baru ini disambung dua hari lagi.

Perintah reman terhadap pekebun 33 tahun itu dibenarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Mirza Mohamad atas permohonan polis.

Lelaki itu sebelum ini direman enam hari bermula 11 Julai lalu.

Siasatan kes dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berhubung benda beracun.

Dalam kejadian 7 Julai lalu, Muhammad Aqil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammas Luth Syauqi, 2, kritikal selepas termakan keropok dicampur racun tikus di Kampung Padang Ubi, Kulim.

Makanan ringan itu dikatakan diletak di pagar sebuah kebun oleh pemilik kebun bagi memerangkap monyet mengganggu tanaman.

Selepas empat hari menerima rawatan, Aqil menghembus nafas terakhir Rabu lalu di Hospital Pulau Pinang, sementara adiknya meninggal dunia dua hari kemudian di hospital sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.