Bantu guru tak berprestasi naik gred, kata persatuan

Bantu guru tak berprestasi naik gred, kata persatuan

Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia Azizee Hasan berkata ia perlu sebelum langkah punitif dikenakan.

Guru cuai, tidak berprestasi, dan tidak berdisiplin akan dikecualikan daripada kenaikan pangkat, kata perdana menteri pada Sabtu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Guru tidak berprestasi perlu diberikan peluang memperbaiki diri, kata persatuan guru mengulas peringatan kerajaan untuk dikecualikan mereka menerima kenaikan gred automatik atau ‘time-based’.

Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia Azizee Hasan, berkata walaupun bersetuju guru malas dan cuai tidak patut dinaikan pangkat, namun sepatutnya sistem sokongan bagi guru berkenaan sebelum tindakan punitif dikenakan.

Katanya, intervensi punca dan masalah mereka harus dikenal pasti dan diberikan latihan menanganinya, sekali gus memberikan masa kepada guru terbabit ke arah peningkatan.

Azizee berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Sabtu, menyatakan warga pendidik mempunyai masalah disiplin dan cuai dalam tugas perlu dikecualikan daripada menerima kenaikan gred secara automatik atau ‘time-based’.

Ketika ini, guru berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan diberikan kenaikan pangkat selepas tiga hingga lapan tahun bergantung kepada gred lantikan.

Azizee berkata, kenaikan pangkat berasaskan ‘time-based’ perlu bergantung kepada kriteria khusus ditetapkan ketua jabatan, bukan berdasarkan politik, kronisme, atau pilih kasih.

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim, berkata sistem sokongan buat guru bermasalah sememangnya ada, namun mengambil masa lama untuk menunjukkan hasil.

Katanya, ia menjejaskan pelajar jika guru tidak kompeten dan mereka perlu disingkirkan sebelum menimbulkan lebih banyak ‘kerosakan’.

Azimah berkata, penilaian ke atas guru oleh pentadbir sekolah perlu objektif, adil, dan tanpa prejudis dengan penanda aras mengikut piawaian antarabangsa.

Katanya, rancangan Anwar membawa meritokrasi lebih besar dalam profesion perguruan dengan memberi penghargaan kepada berkelayakan pada kedudukan pimpinan, mampu meningkatkan kualiti pendidikan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Pendidikan mesti mengambil tanggungjawab ke atas guru yang tidak menunaikan tanggungjawab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.