Tarif elektrik rendah jadi penarik pelabur asing

Tarif elektrik rendah jadi penarik pelabur asing

Timbalan menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata tarif tenaga negara antara terendah di Asia Tenggara.

Syarikat gergasi seperti Google dan Microsoft tertarik melabur memandangkan kadar elektrik di Semenanjung yang kompetitif. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Tarif elektrik antara terendah di Asia Tenggara menjadi faktor penarik pelabur asing ke Malaysia, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Katanya, syarikat gergasi seperti Google dan Microsoft tertarik melabur memandangkan kadar elektrik di Semenanjung yang kompetitif.

“Kerajaan telah membuktikan tawaran yang diberikan kepada pelabur berjaya menarik minat ramai pelabur asing seperti Google, Microsoft dan sebagainya untuk melabur di Malaysia,” katanya dalam pertanyaan-pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) adakah tarif sedia ada negara mampu menarik pelabur untuk bersaing dengan negara jiran.

Pada 29 Jun lalu, kerajaan mengumumkan pengguna di Semenanjung tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis ini bawah mekanisme Pelepasan Kos-kos Tidak Seimbang (ICPT).

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) mengumumkan tarif elektrik bagi pengguna domestik dengan penggunaan elektrik sebanyak 600kWj hingga 1,500 kWj kekal.

Kerajaan turut mengurangkan bil elektrik antara 1 hingga 4% bagi pengguna bukan domestik membabitkan operator air, pembetungan, voltan rendah, tarif pertanian spesifik, lampu jalan bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain.

Dalam pada itu, Akmal memaklumkan kerajaan membelanjakan sebanyak RM16.52 bilion pada 2022 dan RM7.14 bilion pada 2023 bagi membiayai subsidi elektrik ICPT kepada pengguna domestik dan bukan domestik termasuk sektor pembuatan serta pemprosesan makanan dan minuman.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memutuskan supaya kadar surcaj ICPT yang dilepaskan kepada pengguna adalah munasabah dan tidak membebankan rakyat serta industri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.