
RUU bagi meminda Akta Timbang Tara 2005 (Akta 646) itu dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Menurut naskhah biru menerusi laman web Parlimen, pindaan terhadap Akta 646 itu selari pelaksanaan perjanjian tambahan antara Malaysia dengan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia-Afrika yang berhubungan dengan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia di Kuala Lumpur.
Ia juga mencadangkan beberapa seksyen baharu berhubung pembiayaan pihak ketiga, antaranya Seksyen 46c yang bertujuan mengadakan peruntukan bahawa rukun ‘common law’ menentang ‘maintenance and champerty’ hendaklah terhenti terpakai berhubung pembiayaan pihak ketiga bagi timbang tara.
Selain itu, perjanjian pembiayaan pihak ketiga tidak boleh dikira sebagai berlawanan dengan dasar awam atas alasan ‘maintenance and champerty’.
“Dengan peruntukan ini, pembiayaan pihak ketiga bagi timbang tara dan prosiding mahkamah yang berkenaan dengan timbang tara tidak lagi dilarang di Malaysia,” menurut naskhah biru itu.
Sementara itu, Azalina turut membentangkan RUU Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali pertama yang memperuntukkan mengenai perubahan nama Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (PTSKL) kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia.