Pengecualian cukai Yayasan Albukhary batal ketika Muhyiddin PM, kata peguam

Pengecualian cukai Yayasan Albukhary batal ketika Muhyiddin PM, kata peguam

Peguam Guok Ngek Seong berkata surat daripada Pengerusi Yayasan Albukhary, Syed Mokhtar Al-Bukhary langsung tidak menyatakan Lim Guan Eng atau kerajaan PH bertanggungjawab atas pembatalan.

Muhyiddin Yassin tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk hari pertama perbicaraan kes saman difailkan bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng berhubung isu pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi diberitahu isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary dibuat semasa Muhyiddin Yassin memegang jawatan perdana menteri.

Peguam Guok Ngek Seong yang mewakili bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata, merujuk surat ditandatangani Pengerusi Yayasan Albukhary, Syed Mokhtar Al-Bukhary pada 5 Feb 2021, perkataan ‘baru-baru ini’ dalam surat berkenaan membawa maksud perkara pembatalan atau pembatalan status pengecualian cukai itu berlaku ‘baru-baru ini’.

“Sebelum defendan (Muhyiddin) menyiarkan tiga kenyataan berunsur fitnah itu, defendan tahu mengenai kandungan sebenar surat dikeluarkan Syed Mokhtar bertarikh 5 Feb 2021,” katanya dalam pernyataan pembukaan hari pertama perbicaraan kes saman difailkan Lim terhadap Muhyiddin berhubung pembatalan pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary.

Beliau berkata, surat daripada Syed Mokhtar langsung tidak menyatakan plaintif (Lim) atau kerajaan Pakatan Harapan (yang jatuh pada penghujung Februari 2020) sebagai orang bertanggungjawab dengan pembatalan itu.

“Dalam mana-mana keadaan, tiada satu bukti atau dokumen pun yang boleh membuktikan plaintif yang menyebabkan pengecualian cukai diberikan kepada Yayasan Albukhary dibatalkan.

“Malah, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membuat kenyataan pada 21 Mac 2023 di Parlimen yang membongkar dan mendedahkan kenyataan fitnah defendan palsu. Anwar menjelaskan kepada Parlimen bahawa plaintif tidak pernah membatalkan status pengecualian cukai diberikan kepada Yayasan Albukhary.”

Sementara itu, Guok berkata keterangan bakal diberikan di mahkamah dengan jelas akan menunjukkan pembelaan difailkan defendan semuanya penuh dengan pembohongan, tidak berasas, tidak disokong dan pembelaan Muhyiddin adalah pembelaan palsu.

“Oleh kerana defendan tahu atau sepatutnya mengetahui kandungan surat dikeluarkan Syed Mokhtar kepada defendan, satu-satunya penjelasan mengapa defendan terus mengeluarkan kenyataan fitnah secara terang-terangan dengan menyerang plaintif adalah demi survival politik defendan. Ini penting bagi defendan kerana defendan ketika itu berdepan kemungkinan didakwa di mahkamah.”

Lim dijadualkan memberi keterangan di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain pada sesi petang.

Pada 27 Mac 2023, Lim memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook membabitkannya berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023. Laporan itu kemudian diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu juga mendakwa kenyataan fitnah berkenaan juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.