
Pemimpin Umno Gua Musang yang enggan namanya didedahkan berkata nama Azmawi telah ‘direstui’ Tengku Razaleigh Hamzah selaku peneraju Umno bahagian itu selepas saringan terhadap tiga nama disenarai pendek.
Menurutnya, selain Azmawi yang juga ketua Pemuda Umno Kelantan, turut disenaraikan Ketua Penerangan Umno Gua Musang Amran Arifin dan Ketua Wanita Umno Gua Musang Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli.
“Selepas perbincangan akhir, Umno Gua Musang memuktamadkan untuk menyerahkan nama Azmawi kepada Presiden Zahid Hamidi.
“Pemilihan Azmawi mengambil kiranya sebagai calon muda, telah lama membuat kerja dan dikenali penduduk tempatan,” katanya kepada FMT.
Sementara itu Timbalan Ketua Penerangan Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor ketika dihubungi memaklumkan calon BN bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan belum dimuktamadkan.
“Kita tunggu presiden putuskan dan pengumuman calon akan dibuat 17 Jul ini,” katanya.
PRK Nenggiri diadakan selepas Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah pada Pada 19 Jun lalu mengisytiharkan kerusi itu kosong apabila dimaklumkan Mohd Azizi Abu Naim bukan lagi ahli Bersatu.
Menurut Bersatu, keahlian Azizi dihentikan selepas dia gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti dan menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dipilih Adun Nenggiri pada PRN Ogos tahun lalu selepas menewaskan Ab Aziz Yusoff daripada Umno, bekas Adun kawasan itu dalam persaingan satu lawan satu dengan majoriti 810 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 3 Ogos dan undi awal 13 Ogos.