Kerjasama Umno-Bersatu bukan 1 pilihan, kata bekas pemimpin

Kerjasama Umno-Bersatu bukan 1 pilihan, kata bekas pemimpin

Salleh Said Keruak berkata objektif utama Umno untuk merampas kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu.

Salleh Said Keruak
Salleh Said Keruak menegaskan Umno perlu menumpukan sumber politik ke arah memenangi semula kerusi tewas pada PRU15. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Seorang bekas pemimpin Umno berpendapat sebarang usaha menyatukan parti itu dengan Bersatu bukan satu pilihan, sambil menegaskan kedua-duanya tidak boleh bersama.

Bekas bendahari Umno Salleh Said Keruak berkata objektif utama parti itu untuk merampas semula kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu.

“Sebarang perbincangan kerjasama politik antara Umno dan Bersatu bukanlah satu pilihan. Kita perlu menumpukan sumber politik kita ke arah memenangi semula kerusi tewas kepada Bersatu semasa PRU15.

“Jadi sasaran utama jentera politik Umno dan BN untuk pilihan raya umum akan datang adalah untuk memenangi semula kerusi tewas kepada Bersatu pada November 2022,” katanya dalam kenyataan.

Sabtu lalu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil berkata parti itu perlu memutuskan segera sama ada untuk bersama Pakatan Harapan (PH) atau bertanding solo dengan menggabungkan semula kekuatan parti Melayu Islam menerusi Muafakat Nasional (MN).

Isham berkata objektif utama sebelum PRU16 adalah untuk mengembalikan MN supaya parti Melayu Islam iaitu PAS, Bersatu, dan Umno bergabung untuk mencapai kemenangan.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi pula berkata parti itu wajar bertindak balas menenggelamkan Bersatu yang diwujudkan untuk membunuh Umno.

Menurutnya, keadaan itu tidak mustahil mengambil contoh anggota Semangat 46 kembali ke pangkuan Umno.

“Sebab itu enam Ahli Parlimennya lari, ia merebak ke akar umbi bila ahlinya hilang jawatan Ketua Kampung, ahli majlis dan lain lain,” katanya.

Puad merujuk tindakan enam wakil rakyat terlucut keahlian Bersatu kerana menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.