Remaja masuk hospital selepas makan biskut disyaki beracun

Remaja masuk hospital selepas makan biskut disyaki beracun

Seorang lelaki dimasukkan ke hospital selepas termakan biskut yang diambil di pagar kebun.

Seorang remaja dimasukkan ke Hospital Kemaman selepas memakan biskut disyaki mengandungi racun. (Gambar Facebook)
CHUKAI:
Seorang remaja lelaki dimasukkan ke hospital selepas termakan biskut disyaki mengandungi racun yang diambil di pagar kebun penduduk kampung, Jumaat lepas.

Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan, berkata kejadian berlaku kira-kira 2 petang ketika mangsa berumur 13 tahun yang tinggal di Kampung Air Putih dalam perjalanan dari rumah ke sungai untuk memancing.

Remaja terbabit ketika melalui kebun itu mengambil biskut yang diletakkan di dalam plastik sebelum rebah tidak sedarkan diri.

“Mangsa ditemukan oleh bapa rakannya dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di atas tanah.

“Dia dibawa ke klinik kesihatan berdekatan sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman,” katanya ketika dihubungi.

Hanyan berkata remaja itu kini berada dalam keadaan stabil di wad dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.