
Menurut aturan Dewan Rakyat esok, Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Perubatan 1971 dijadual dibentangkan bagi bacaan pertama oleh Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata RUU itu juga perlu dibentangkan untuk bacaan kedua untuk dibahas oleh Ahli Parlimen.
“Sebaik sahaja bacaan kedua selesai, RUU itu diteruskan ke peringkat jawatankuasa, di mana setiap klausa dan sebarang cadangan untuk perubahan boleh dibahaskan.
“Selepas itu ia akan dibentangkan bagi bacaan ketiga untuk diluluskan Dewan Rakyat, sebelum dibawa ke Dewan Negara untuk persetujuan. Ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan sebelum digazetkan,” katanya.
Kok berkata dengan sidang sesi ini berakhir Khamis, sukar untuk mengatakan sama ada RUU itu sempat dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga. Tambahnya, ia pernah dilakukan sebelum ini bergantung pada keutamaan perkara tersebut.
“Memandangkan pengiktirafan laluan selari adalah mendesak dan amat penting, saya percaya menteri kesihatan dan pendidikan tinggi akan berusaha untuk meluluskan RUU itu pada sesi ini,” katanya kepada FMT.
Pindaan dicadangkan itu susulan kontroversi Majlis Perubatan Malaysia (MPM) yang tidak mengiktiraf beberapa program laluan selari seperti program pakar bedah kardiotorasik dari Royal College of Surgeons of Edinburgh, walaupun hospital kerajaan menghadapi kekurangan pakar tersebut.
MPM disaman oleh empat pakar bedah kardiotorasik laluan selari selepas badan itu menolak permohonan mereka untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Nasional (NSR).
Enam pakar yang mendapat kelayakan di bawah program patologi (genetik perubatan) Universiti Sains Malaysia (USM) juga terlibat dalam pertikaian undang-undang dengan MPM mengenai kekurangan pengiktirafan dan menyenarai mereka dalam NSR.
Dalam satu saman berasingan, seorang pakar neurologi Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong juga mengheret MPM ke mahkamah mengenai permohonannya untuk disenaraikan dalam NSR.