
Beliau berkata, peruntukan disalurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu adalah sebahagian daripada RM150 juta diperuntuk kerajaan persekutuan dalam Belanjawan 2024 bagi pelaksanaan projek pembangunan bersama kerajaan negeri.
Katanya, tujuh projek pembangunan agromakanan dibangunkan di Sabah melalui peruntukan itu, yang merupakan peruntukan tertinggi disalurkan berbanding negeri lain di negara ini.
“Projek itu antara lain termasuk pemerkasaan ternakan bersepadu ruminan, pembangunan 23 pusat pengumpulan hasil tani, dan pemulihan sawah-sawah padi terbiar seluas 534.55 hektar. Selain itu ia juga melibatkan pembinaan kilang kopi dan pembangunan tanaman kontan keladi Cina.
“Peruntukan bawah program ini telah disalurkan secara berperingkat kepada negeri Sabah pada 4 April dan 14 Mei lepas bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan.
Mohamad berkata, semua projek itu akan dilaksana dan diselia Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah melalui Jabatan Pertanian Negeri Sabah (DOA Sabah) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah (DVS Sabah).
Beliau berkata, peruntukan itu juga memberi manfaat dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah seterusnya meningkatkan pendapatan taraf sosioekonomi negeri ini selaras dengan usaha meningkatkan nilai kadar sara diri (SSR) dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0.
Sementara itu, menurut kenyataan berkenaan Mohamad telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Hajiji Noor di kediaman rasminya di Seri Gaya, malam tadi.
“Dalam pertemuan itu perbincangan menjurus kerjasama KPKM dengan kerajaan negeri bagi mengoptimumkan penggunaan tanah ke arah keterjaminan makanan negara serta kerjasama dalam melaksanakan projek pembangunan.
“Ia juga meliputi pemerkasaan sektor ternakan, tanaman dan aktiviti pengeluaran serta pemasaran produk hiliran di Sabah,” menurut kenyataan itu.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Jeffrey Kitingan yang juga menteri pertanian, perikanan dan industri makanan Sabah serta Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Arthur Joseph Kurup.
Mohamad kini berada di Sabah untuk lawatan empat hari bermula semalam dan lawatan itu turut melibatkan konvoi jelajah Road to MAHA@Sabah 2024 di Kota Kinabalu, Kota Belud, Kundasang, Telupid dan Sandakan.