
Laporan itu menyatakan kerugian tidak direalisasi HRD Corp dalam pelaburannya, tanpa menekankan keuntungan tidak direalisasinya.
Bagaimanapun, menurut dokumen jawapan dilihat FMT, syarikat itu mencatatkan keuntungan tidak direalisasi sebanyak RM119 juta, menjadikan keuntungan pelaburan bersih tidak direalisasi RM69 juta pada 31 Dis 2023.
Sehingga pelaburan dilupuskan, sebarang perubahan dalam nilainya dianggap tidak direalisasikan, atau ‘atas kertas’. Untung atau rugi yang direalisasikan berlaku apabila pelaburan dijual pada harga lebih tinggi atau lebih rendah daripada dibeli.
Kira-kira 84% daripada RM3.7 bilion pelaburan HRD Corp adalah dalam pelaburan berisiko rendah seperti deposit tetap, bon, sukuk dan unit amanah, dengan baki dalam ekuiti yang walaupun dianggap berisiko lebih tinggi, sudah memberikan pulangan tidak nyata sebanyak 10.8%.
Dalam penyata kewangannya yang diaudit, HRD Corp merekodkan keuntungan pelaburan sebanyak RM82 juta pada 2020, RM71 juta pada 2021, RM90 juta pada 2022 dan RM176 juta tahun lalu.
Berbeza dengan beberapa laporan bahawa HRD Corp ‘gagal’ dalam auditnya, ia tidak kelihatan begitu menurut laporan audit 2023 oleh BDO, seperti didedahkan dalam laporan tahunannya tahun lalu. Berdasarkan laporan audit tersebut, HRD Corp merekodkan lebihan bersih sebanyak RM81.3 juta pada tahun kewangan berakhir Disember 2023, meningkat daripada RM29.8 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut pakar kewangan yang biasa dengan HRD Corp, ia adalah gambaran salah untuk ‘hanya memilih’ fakta penting tertentu bagi dibentangkan dalam laporan audit.
“Turut dijangka bahawa walaupun sesetengah pelaburan mungkin mengakibatkan kerugian, yang lain mendapat untung. Dalam kes HRD Corp, bukan sahaja modal utama kelihatan kekal terpelihara dan utuh, mereka mencatatkan keuntungan bersih yang jelas,” kata sumber itu.
Bawah Seksyen 27 Akta PSMB 2001, panel pelaburan HRD Corp boleh melabur dana untuk memperoleh pulangan bagi membiayai operasi organisasi.
HRD Corp bertanggungjawab mentadbir dana pembangunan sumber manusia dan mengutip levi untuk menggalakkan latihan dan pembangunan pekerja, perantis dan pelatih.