
Beliau berkata, pihaknya akur keputusan pimpinan tertinggi dan akan membantu calon BN merampas semula Nenggiri daripada Perikatan Nasional.
“Kami di peringkat pimpinan PH Gua Musang akur keputusan pimpinan kerajaan perpaduan. Tiada isu boikot daripada pengundi PH di DUN Nenggiri.
“Keputusan sebulat suara dicapai semasa mesyuarat pimpinan PH Gua Musang tempoh hari juga akan memberi kerjasama sebaik mungkin kepada calon kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.
Mengumumkan perkara itu 11 Julai lalu, Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata keputusan dicapai pada mesyuarat 9 Julai dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri pimpinan tertinggi BN serta PH.
“Pimpinan kedua-dua parti memberikan komitmen dan sokongan penuh untuk membantu calon BN yang mewakili kerajaan perpaduan,” katanya dalam kenyataan.
Pada 29 Jun, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata parti itu akan meletakkan calonnya susulan kekosongan luar jangka selepas penyandang Mohd Azizi Abu Naim terhenti keahlian dalam Bersatu.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, bekas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah bagi PRK itu manakala Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan dilantik pengarah operasi.
Antara calon disenarai pendek Umno Gua Musang termasuk Ketua Pemudanya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, Amran Arifin (ketua penerangan) dan Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli (ketua Wanita).
Bagaimanapun, dua hari selepas itu Asharun berkata keputusan parti mewakili kerajaan perpaduan pada PRK Nenggiri belum diputuskan.
Terdahulu, beliau menyuarakan pandangan akar umbi yang mahukan calon daripada PH bertanding PRK Nenggiri.
DUN Nenggiri bawah Parlimen Gua Musang pernah menjadi kubu kuat Umno namun terlepas pada PRN Ogos tahun lalu apabila Azizi menewaskan Ab Aziz Yusoff daripada BN dengan majoriti 810 undi.