
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata keputusan meringankan beban kontraktor itu dalam proses perbincangan antara Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Kerja Raya (KKR), dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
“Kita baru ada perbincangan minggu lepas, jadi bagi masa sikitlah. Kita faham semasa kita buat penyasaran subsidi diesel, mungkin ada sedikit kenaikan yang dirasakan oleh kontraktor untuk kos sedia ada.
“Bagi kontrak kerajaan, MoF sedang berbincang dengan KKR dan CIDB. Kita akan perhalusi pelarasan VOP untuk diberi kepada kontrak yang sedia ada,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Transformasi G1: Cabaran dan Hala Tuju Kontraktor G1 Dalam Menghadapi Era Masa Kini.
Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menambahkan lagi bahan binaan yang termasuk dalam pelaksanaan VOP, Amir berkata: “Kerajaan pada dasarnya, kalau kita nampak ada kenaikan yang boleh dijustifikasikan, kita akan bagi VOP tetapi perlu diperhalusi dan disahkan dengan CIDB.
“Kita tengok mana-mana bahan yang boleh dijustifikasikan. Kenapa ada kenaikan dan kalau ada kenaikan kita tengok kesan pada kontrak, kita tengok macam mana.”
Media sebelum ini melaporkan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) berharap VOP dapat dikembalikan semula bagi mengimbangi kenaikan kos binaan sekitar 30% susulan tindakan memperkenalkan subsidi diesel bersasar.
Ini kerana, kali terakhir kerajaan menambah 11 jenis bahan binaan dalam senarai VOP ialah pada 2022, antaranya simen, batu-bata dan dinding, kaca, batu baur, bahan siling serta bahan bumbung.