Buli siber: Cadang akta baharu letak tanggungjawab pemilik media sosial

Buli siber: Cadang akta baharu letak tanggungjawab pemilik media sosial

Menteri Digital Gobind Singh Deo mencadangkan akta itu bagi memastikan tiada penyalahgunaan berlaku dan tindakan segera boleh diambil.

GOBIND SINGH DEO
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata akta baharu itu dicadangkan bagi memastikan platform media sosial selamat dari sudut keselamatan siber dan tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.
PETALING JAYA:
Menteri Digital Gobind Singh Deo mencadangkan satu akta baharu digubal untuk meletakkan tanggungjawab kepada pemilik platform media sosial atas penyalahgunaan termasuk kes membabitkan buli siber.

Gobind berkata, dalam mesyuarat Kabinet semalam, beliau bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Undang-Undang Azalina Othman Said membangkitkan isu buli siber terutama kes kematian pempengaruh TikTok, A Rajeswari atau dikenali sebagai Esha baru-baru ini.

“Saya juga mencadangkan undang-undang baharu dipertimbangkan untuk meletakkan tanggungjawab ke atas tuan punya platform.

“Ini bagi memastikan bahawa tiada penyalahgunaan berlaku dan sekiranya ada, tindakan segera boleh diambil untuk menghalang keadaan sedemikian daripada berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, undang-undang sedia ada khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia, kanun keseksaan, dan Akta Kesalahan Komputer memang wujud dan boleh dikuatkuasakan.

“Kita perlu pastikan platform yang didirikan adalah selamat dari sudut keselamatan siber, perlindungan data peribadi, dan paling penting tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

“Kita harus memastikan bahawa undang-undang digubal bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang penyalahgunaan, dan sekiranya berlaku tindakan pantas harus diambil,” katanya.

Semalam, Fahmi berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta polis bertindak segera menghentikan buli siber yang dikaitkan dengan kematian Esha, minggu lalu.

Menurutnya, Anwar dalam mesyuarat Kabinet semalam menyatakan kebimbangan dan tidak puas hati terhadap perlakuan buli di alam maya seumpama itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.