Akta antilompat parti perlu lebih ketat, kata Mohamad

Akta antilompat parti perlu lebih ketat, kata Mohamad

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, juga mengesahkan kuasa speaker dalam menentukan kedudukan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata kaji semula akta antilompat parti wajar dilakukan bagi memastikan negara tidak kucar-kacir. (Gambar Bernama)
KOTA TINGGI:
Akta antilompat parti wajar dikaji semula bagi mengatasi kelompongan sedia ada sekali gus menghalang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri melompat ke parti lawan.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata perkara itu wajar dilakukan bagi memastikan negara tidak kucar-kacir dengan tindakan ahli politik yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding memperkasa kerajaan setelah dipilih rakyat.

“Kalau tidak dikaji, kita boleh lakukan proses recall seperti di England. Ini berlaku apabila terdapat Ahli Parlimen yang tidak sehaluan dengan parti, pengundi di kawasan itu boleh buat satu referendum dan sekiranya mendapat sokongan lebih 50%, kerusi itu perlu dikosongkan serta pilihan raya diadakan semula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Tenggara di Felda Sungai Sayong.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi memperbaiki kelompangan yang wujud.

Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, dipetik sebagai berkata pada 2022 bahawa pihaknya pernah mengusulkan supaya pindaan terhadap akta tersebut dibuat namun ditolak oleh kerajaan ketika itu.

Sementara itu, mengulas keputusan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, yang mengekalkan kedudukan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu, Mohamad berkata perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa beliau sebagai speaker.

“Itu kuasa Speaker… kita ada pengasingan kuasa dan di dalam Parlimen. Speaker yang ada kuasa… sama juga di Dewan Undangan Negeri. Itu sebabnya bila kes ini dibawa ke mahkamah, mahkamah maklumkan mereka tidak masuk campur kerana ini adalah urusan legislatif, bukan badan kehakiman,” katanya.

Mohamad berkata beliau sedia mempertahan jawatan timbalan presiden Umno sekiranya jawatan itu dipertanding pada pemilihan akan datang.

“Saya akan pertahankan. Kita bersilat sama-sama, menang kalah itu biasa dalam keluarga. Proses pemilihan kepimpinan itu amalan biasa dalam mana-mana organisasi termasuk Umno.

“Itu adalah proses untuk memilih yang terbaik daripada yang baik-baik, jadi terpulang kepada ahli parti untuk buat pemilihan agar parti akan terus dapat diterajui sebaik mungkin demi menghadapi pilihan raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.