3 pekerja penyelenggaraan lebuh raya maut dirempuh kereta

3 pekerja penyelenggaraan lebuh raya maut dirempuh kereta

Kejadian di Kilometer 3.1 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) awal pagi tadi itu turut menyebabkan seorang lagi pekerja Bangladesh cedera.

kemalangan
Kereta Proton Waja dikatakan hilang kawalan lalu merempuh pekerja penyanggaraan lebuh raya sehingga menyebabkan tiga maut dan seorang cedera di Lebuhraya Baru Lembah Klang. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Tiga pekerja penyelenggaraan lebuh raya maut manakala seorang lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta hilang kawalan dalam kejadian di Kilometer 3.1 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) awal pagi tadi.

Mangsa yang maut adalah warga India manakala pekerja cedera warga Bangladesh.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden pada 3.30 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta jenis Proton Waja dari arah Damansara menghala ke Klang hilang kawalan dan melanggar pembatas jalan serta pembahagi jalan di tengah lebuh raya.

“Ketika itu, terdapat kerja penyelenggaraan sedang dilakukan di kawasan berkenaan dan kemalangan menyebabkan tiga lelaki warga India berusia 24 hingga 29 tahun yang juga pekerja kontraktor syarikat penyelenggaraan maut di tempat kejadian.

“Seorang lelaki warganegara Bangladesh cedera ringan dan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan menurut Berita Harian.

Iqbal berkata, susulan kejadian itu polis menahan pemandu kenderaan berusia 20-an untuk siasatan lanjut.

“Ujian darah dan air kencing pemandu turut dijalankan untuk pemeriksaan kandungan alkohol dan dadah.

“Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam Raja Mahadi Raja Mahmudin di talian 012 3097660.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.