Yayasan Keluarga Malaysia belanja RM300,000 hadiah cemerlang SPM, bantuan kasih

Yayasan Keluarga Malaysia belanja RM300,000 hadiah cemerlang SPM, bantuan kasih

Ismail Sabri berkata pendidikan antara agenda utamanya bagi membantu mengubah nasib sesebuah keluarga.

ismail sabri
Ismail Sabri Yaakob berkunjung ke rumah Haziq Safwan Shahril bagi menyampaikan insentif hadiah kecemerlangan SPM Yayasan Keluarga Malaysia di Kajang, semalam.
PETALING JAYA:
Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) meraikan 515 penerima program Hadiah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dan Bantuan Kasih YKM fasa dua yang membabitkan perbelanjaan hampir RM300,000.

Semalam, Pengerusinya Ismail Sabri Yaakob yang juga bekas perdana menteri telah berkunjung ke rumah Haziq Safwan Shahril di Kajang, bagi menyampaikan insentif hadiah kecemerlangan SPM.

Haziq yang juga salah seorang penerima bantuan YKM mendapat keputusan 7A dalam SPM tahun lalu akan menyambung pelajaran di German-Malaysian Institute (GMI) dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Perisian.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang itu menerima wang tunai RM1,000.

“Saya berharap bantuan diberikan kepada Haziq akan dimanfaatkan sebaiknya sewaktu menyambung pelajaran kelak.

“Pendidikan merupakan agenda utama pihak YKM terhadap pemberian bantuan ini kerana pendidikan mampu mengubah nasib sesebuah keluarga itu,” kata Ismail dalam kenyataan.

Dua lagi penerima hadiah kecemerlangan SPM 2023 ialah Nur Alieya Nafisya Muhamad Farid dan Intan Elya Rumaisa Zainudin yang masing-masing mencatatkan keputusan 6A.

Hadiah menerusi program itu akan dikreditkan bersama Bantuan Kasih YKM Fasa 2 kepada penerima layak pada 19 Julai depan, sebelum ini yayasan berkenaan menyalurkan RM515,000 bantuan fasa pertama pada 20 Mac lalu.

Ismail berkata bantuan itu membuktikan komitmennya membela anak yatim akibat Covid-19, selain sumbangan persekolahan serta menara gading yang tahun ini membabitkan peruntukan RM1.3 juta.

Sejak YKM ditubuhkan, pelbagai jenis bantuan telah diberikan kepada golongan memerlukan khususnya dari keluarga berpendapatan rendah yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19, kemalangan dan bencana alam.

Bantuan diberikan secara tahunan dan dikreditkan kepada akaun penerima dalam tiga fasa iaitu pada Mac, Julai dan November.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.