
Ibu mangsa Nurain Hasnorizal, 25, berkata anaknya Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia kira-kira jam 1.24 tengah hari tadi, lapor Harian Metro.
“Luth sudah meninggal dunia kira-kira jam 1.24 tengah hari tadi, hilang sudah kesakitannya.
“Jenazahnya dijangka dikebumikan Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kedah berhampiran pusara abangnya,” katanya yang dipetik akhbar itu.
Abang mangsa, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, meninggal dunia pada pagi Rabu lalu ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik.
Media sebelum ini melaporkan dua beradik lelaki dilaporkan kritikal selepas dipercayai termakan keropok mengandungi racun tikus yang tergantung di pagar sebuah kebun dalam kejadian di Kulim, Kedah, Ahad lalu.
Ketua Polis Kulim Mohd Azizul Mohd Khairi berkata kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar itu disedari ibu mangsa pada 11 pagi selepas melihat dua beradik berusia dua dan tiga tahun itu muntah.
Wanita kemudiannya membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan ke Hospital Kulim (HK) sebelum dirujuk HPP untuk rawatan lanjut.