BNM yang berundur dari panel pelaburan HRD Corp

BNM yang berundur dari panel pelaburan HRD Corp

Pengunduran itu selaras matlamat memastikan mandat dan tanggungjawabkan BNM dapat dilaksanakan dengan berkesan serta ambil kira perkara berkaitan percanggahan kepentingan.

Bank Negara Malaysia
BNM mengundurkan wakilnya daripada panel pelaburan HRD Corp selaras penguatkuasaan Akta Bank Negara 2009.
PETALING JAYA:
Panel pelaburan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) tidak lagi dianggotai wakil Bank Negara (BNM) atas permintaan bank pusat itu.

FMT difahamkan bahawa BNM pada 2010 membuat keputusan untuk berundur daripada panel itu, walaupun Seksyen 26(2)(e) Akta Pembangunan Sumber Manusia menghendaki penyertaan bank pusat itu.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya minggu lalu menyorot perhatian kepada ketiadaan wakil BNM dalam panel pelaburan HRD Corp sejak 2017, menyatakan ia bertentangan dengan akta.

Namun, suatu surat bertarikh 12 Julai 2010 yang dilihat FMT mencadangkan bahawa pengunduran BNM itu bukan disebabkan oleh sebarang tindakan yang disengajakan atau tidak dimasukkan oleh HRD Corp.

BNM dalam suratnya kepada CEO HRD Corp ketika itu, Amirnuddin Mazlan, menyatakan bahawa ia mengkaji semula penyertaan pegawainya di dalam lembaga pengarah dan jawatankuasa luar, selaras penguatkuasaan Akta Bank Negara 2009.

“Langkah ini selaras dengan matlamat untuk memastikan mandat dan tanggungjawab bank dapat dilaksanakan dengan berkesan serta mengambil kira perkara-perkara yang berkaitan dengan percanggahan kepentingan.

“Berikutan dengan kajian semula tersebut pihak bank telah memutuskan untuk tidak lagi meneruskan penyertaan wakil bank dalam Panel Pelaburan Pembangunan Sumber Manusia,” menurut surat yang ditandatangani oleh setiausaha kepada lembaga pengarah BNM ketika itu, Mohd Nor Mashor.

Surat ini menyokong keterangan yang diberikan oleh pegawai kementerian dan HRD Corp kepada PAC baru-baru ini.

Penasihat undang-undang Kementerian Sumber Manusia, Shamsurryaty Shamsuddin; bekas ketua pegawai operasi HRD Corp, Ariff Farhan Doss; dan ketua pegawai undang-undang HRD Corp, Merle Fernandez, memaklumkan kepada PAC bahawa BNM tidak mahu ada wakil dalam panel itu.

PAC seterusnya mengesyorkan Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad dipinda supaya wakil BNM tidak perlu dilantik sebagai ahli panel pelaburan lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyangkal dakwaan dalam PAC bahawa panel pelaburan HRD Corp membuat “pelaburan berisiko tinggi”.

Sim pada Rabu melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa HRD Corp telah melaburkan 84% daripada RM3.77 bilion ke dalam pelaburan berisiko rendah seperti wang tunai, deposit, bon, sukuk, dan akaun amanah, dan selebihnya dalam ekuiti.

Sim juga dipetik oleh The Edge sebagai berkata HRD Corp merekodkan keuntungan pelaburan dalam tempoh empat tahun lepas: RM82 juta pada 2020, RM71 juta (2021), RM90 juta (2022), dan RM176 juta (2023).

HRD Corp berada pada landasan untuk mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM180 juta bagi tahun semasa. Sehingga Jun, ia meraih keuntungan pelaburan sebanyak RM91 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.