
Dianjurkan Biro Latihan dan Perkaderan diketuai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Wan Saiful Wan Jan, konvensyen bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC), Selayang itu akan turut melancarkan dokumen ‘Idealisme Perjuangan Bersatu’ yang menggariskan prinsip dan falsafah perjuangan parti.
“Kedua-dua agenda ini amat penting bagi Bersatu yang masih muda dalam landskap politik negara.
“Peserta bukan saja akan menerima maklumat tepat mengenai tatacara pengurusan dan penganjuran persidangan yang akan bermula tak lama lagi, tetapi juga akan mendapat peluang membedah dokumen yang menggariskan prinsip utama perjuangan Bersatu,” kata Wan Saiful dalam kenyataan.
Menurutnya, konvensyen bertemakan ‘Mendokong Idealisme, Memperkasa Kesatuan, Membina Kekuatan’ itu akan dihadiri barisan MPT, pemimpin sayap Bersatu, serta pemimpin akar umbi di peringkat bahagian.
Bulan lalu, Bersatu memutuskan tarikh persidangan peringkat cawangan bermula pada 20 Jul hingga 31 Ogos, manakala bahagian pada 12 hingga 26 Okt.
Perhimpunan Agung Sayap Bersekutu dan Srikandi Muda pula ditetapkan pada 28 Nov diikuti Perhimpunan Agung Sayap Pemuda dan Wanita dan acara kemuncak Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada 30 Nov dan 1 Dis.
PAT Bersatu tahun ini dijangka panas apabila parti itu akan mengadakan pemilihan bagi jawatan timbalan presiden dan ke bawah, selepas MPT Bersatu menetapkan jawatan presiden yang disandang Muhyiddin Yassin tidak dipertandingkan.
FMT sebelum ini melaporkan pemimpin dan ahli Bersatu yang ingin menawarkan diri untuk bertanding perlu membayar antara RM1,000 hingga RM100,000 bergantung jawatan ditandingi.
Mengikut perancangan itu, mereka yang ingin bertanding jawatan presiden dan timbalan perlu membayar RM100,000, RM50,000 bagi naib presiden, RM5,000 ahli MPT dan bayaran sehingga RM1,000 bagi pertandingan peringkat bahagian.