Nelayan, NGO kalah saman halang projek tambakan P Pinang

Nelayan, NGO kalah saman halang projek tambakan P Pinang

Mahkamah Tinggi berkata tiada sebarang tindakan menyalahi undang-undang, ketidakwajaran, atau keadaan tidak rasional dalam kelulusan projek itu.

fisherman
Pemohon semakan kehakiman berhujah projek Pulau Pinang Selatan akan mengakibatkan kerosakan alam sekitar yang tidak dapat dipulihkan dan menjejaskan kehidupan masyarakat nelayan tempatan.
GEORGE TOWN:
Mahkamah Tinggi membuat keputusan memihak kerajaan Pulau Pinang dan pemaju dalam projek tambakan laut di selatan pulau itu.

Dalam penghakiman menolak semakan kehakiman dibawa tujuh nelayan dan dua NGO, Hakim Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon, berkata beliau tidak mendapati terdapat sebarang tindakan menyalahi undang-undang, ketidakwajaran, atau keadaan tidak rasional, dalam meluluskan projek tersebut.

Kumpulan nelayan, bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Jaringan Ekologi dan Iklim (Jedi), berhujah projek Pulau Pinang Selatan (PSR) akan mengakibatkan kerosakan alam sekitar yang tidak dapat dipulihkan dan menjejaskan kehidupan masyarakat nelayan tempatan.

Dalam mencabar kelulusan diberikan ke atas projek PSR pada 21 Ogos 2023, mereka mendakwa proses kelulusan melangar beberapa peruntukan mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Mereka memohon mentaksahkan kelulusan itu, membatal keputusan, mengembalikan kawasan terjejas, dan pampasan untuk kehilangan pendapatan.

Alasan semakan termasuk kegagalan mematuhi undang-undang perancangan bandar, kesilapan dalam rujukan projek, ketiadaan penilaian alam sekitar, dan pengabaian kesan buruk terhadap alam sekitar serta mata pencarian nelayan.

Mereka menamakan pengarah perancangan bandar dan desa negeri, jawatankuasa perancangan negeri dipengerusikan ketua menteri, kerajaan Pulau Pinang, dan pemaju SRS Consortium Sdn Bhd sebagai responden.

Quay berkata, sebab lain permohonan dikemuka ditolak kerana kes difailkan di luar masa ditetapkan, memandangkan ia sepatutnya difailkan sekurang-kurangnya sebulan lebih awal pada 1 Dis 2023, berbanding 29 Dis.

Seorang daripada nelayan, Zakaria Ismail, berkata dia sangat sedih dengan keputusan hari ini. “Saya fikir ini bermakna kerja sebagai nelayan di Pulau Pinang secara rasmi akan pupus,” dakwanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.