Lelaki maut ditimpa tandan kelapa sawit

Lelaki maut ditimpa tandan kelapa sawit

Mangsa berusia 49 tahun meninggal dunia dalam kejadian di Bagan Serai, tengah hari tadi.

mayat
Mangsa Jamaluddin Ariffin, 49, mengambil upah mengait kelapa sawit milik penduduk sebelum ditimpa tandan buah itu sehingga maut. (Gambar Pixabay)
PETALING JAYA:
Seorang pengutip buah kelapa sawit maut selepas ditimpa tandan buah itu dalam kejadian di Parit Mat Keling, Bagan Serai, tengah hari tadi.

Mangsa, Jamaluddin Ariffin, 49, ditemui terbaring oleh pemilik kebun kira-kira 1.15 tengah hari.

Menurut abangnya, Abdul Wahab, 51, adiknya sebelum itu mengambil upah mengait kelapa sawit milik penduduk.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang lagi abangnya yang bergegas ke tempat kerjanya.

“Arwah pernah bekerja kilang dan berhenti beberapa tahun lalu kerana isterinya, Zarina Jamaludin, 45, sakit dan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong.

“Selepas berhenti kerja, arwah meneruskan kehidupan dengan membuat kerja-kerja kampung termasuk mengambil upah mengait buah kelapa sawit di sini,” katanya menurut Berita Harian.

Wahab berkata, adiknya sempat menangkap ikan dan menjualnya di pasar pagi di Masjid Tinggi sebelum ditimpa kejadian malang itu.

“Bagaimanapun baki hasil tangkapannya tidak sempat dijual di pasar pagi Selama,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Ridzuan Telok Medan, 8.30 malam tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.