‘Baca semua perlembagaan bukan pilih 1 saja’, pembangkang diberitahu

‘Baca semua perlembagaan bukan pilih 1 saja’, pembangkang diberitahu

Anwar Ibrahim berkata speaker Dewan Rakyat telah memberikan keseluruhan tafsiran undang-undang dalam memutuskan kedudukan enam Ahli Parlimen berpaling tadah daripada Bersatu.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim berkata pembangkang seharusnya membaca keseluruhan tafsiran perlembagaan dan undang-undang berhubung keputusan mengekalkan kedudukan enam Ahli Parlimen berpaling tadah dari Bersatu.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri membidas pembangkang kerana hanya memilih sebahagian tafsiran undang-undang dalam membantah keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang mengekalkan kedudukan enam Ahli Parlimen berpaling tadah dari Bersatu.

Anwar Ibrahim berkata Johari telah memberikan keseluruhan tafsiran undang-undang dalam menolak permohonan Bersatu mengosongkan kerusi disandang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Merujuk kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang menyifatkan keputusan Johari bercanggah peruntukan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, Anwar berkata pembangkang tidak seharusnya memilih satu alasan dan membiarkan yang lain.

“Undang undang (kena) dibaca keseluruhan, jangan dipilih satu dan dia tinggal yang lain seperti mana dilakukan pimpinan Bersatu semalam,” katanya ditemui media selepas satu majlis di sini.

“Saya tidak tahu mengapa dia pilih untuk baca sebahagian dan tinggal sebahagian…tapi mungkin itu memang kaedah dan kerja politik Bersatu.

“Sebab itu dia cerita sebahagian macam BlackRock dan tinggal yang lain, tak betul kena baca sepenuhnya,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata ketika di blok pembangkang mereka pernah mencadangkan ahli dipecat parti perlu mengosongkan kerusi DUN atau Parlimen diwakilinya dalam mewujudkan akta antilompat parti, namun ditolak Bersatu.

“Namun ditentang Bersatu dan sebab itu dimasukkan dalam terkecuali, kena baca perlembagaan,” katanya.

Kelmarin, Johari memutuskan enam Ahli Parlimen terbabit tidak perlu mengosongkan kerusi berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.

Beliau menjelaskan Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu bertentangan dan menafikan hak Zahari, Azizi, Syed Hussin, Iskandar Dzulkarnain dan Dzulkafperi yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Berhubung status Suhaili, Johari menjelaskan beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak berkaitan dalam kes saman wakil rakyat itu ke atas Bersatu yang difailkan di Mahkamah Shah Alam dengan keputusannya di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 20 Jun lalu, Ketua Whip Bersatu Ronald Kiandee menyerahkan notis kekosongan kerusi enam Ahli Parlimennya yang terhenti keahlian serta-merta kepada pejabat speaker Dewan Rakyat.

Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia selain terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.