
Pengguna aplikasi X menyuarakan kebimbangan dan kemarahan selepas seorang pengguna media sosial berkongsi gambar mesin itu.
“Tak perlu imbas MyKad untuk pengesahan umur. Hanya bayar dengan kad atau e-dompet,” tulis seorang pengguna.
@sinach_z berkata: “Bayangkan daripada hampir melaksanakan larangan menyeluruh dalam rang undang-undang generasi penamat hingga ini… jual vape secara terbuka.”
@Memsaab88 pula berkata: “Jumlah kanak-kanak hisap vape semakin meningkat kerana ia boleh didapati di mana-mana, apa yang kerajaan Madani lakukan?”
Tinjauan Tembakau Dewasa Global 2023 mendapati penggunaan e-rokok atau vape dalam kalangan remaja berumur 15 hingga 24 tahun meningkat daripada 1.1% pada 2011 kepada 8.6% tahun lalu.
Semakan FMT mendapati pelanggan boleh membeli produk vape dengan mudah daripada mesin layan diri itu di pusat beli-belah.
Pelanggan hanya perlu memilih produk vape pilihan di antara muka skrin sentuh dan membayar menggunakan e-dompet seperti Boost, GrabPay atau Touch ‘n Go.
Selepas mengimbas kod QR dan mengesahkan pembayaran, mesin itu akan mengeluarkan produk vape dipilih kepada pengguna.
CEO Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Khalib menyifatkan “membimbangkan dan mengecewakan” kerana penyedia mesin layan diri membenarkan produk mereka digunakan untuk penjualan produk vape.
“Ini memberi akses tanpa had kepada (produk) vape dan e-rokok bagi sesiapa yang menggunakan mesin ini, termasuk kanak-kanak dan remaja.
“Ini akan menyebabkan semakin ramai kanak-kanak diperkenalkan dan menjadi ketagih kepada nikotin. Peraturan akan diperkenalkan perlu melarang penggunaan mesin layan diri sedemikian.”
FMT telah menghubungi Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad untuk mendapatkan ulasannya.