
Norhana Adam, 38, didakwa memperdayakan Latipah Abdul Rahmah, 64, dengan menyamar sebagai kakitangan BNM bernama ‘Ary’ sehingga mendorong mangsa memindahkan sebanyak RM39,450 menerusi 19 transaksi ke dalam akaun bank milik tertuduh.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Batu 4 1/4 Kampung Alai pada 16 Nov 2020 hingga 9 Feb 2021, lapor Bernama.
Tertuduh didakwa bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun berserta sebatan, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Wardah Ishhar yang mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Muhammad Izzuddin Ab Malek.
Peguam mewakili tertuduh memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya seorang janda dan baru bekerja di kedai makan dengan gaji yang kecil, selain perlu menanggung ibu bapanya.
Majistret Khairunisak Hassni kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. Beliau menetapkan 19 Ogos sebagai tarikh serahan dokumen serta lantikan peguam.
Pada 21 Jun lepas, tertuduh juga didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh kerana menipu rakannya dengan menyamar sebagai pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka bernama ‘Manja Bunga Lestari’ tahun lepas, menyebabkan mangsa kerugian RM416,000.