Termakan keropok racun tikus, 1 mangsa disahkan maut

Termakan keropok racun tikus, 1 mangsa disahkan maut

Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 8.40 pagi tadi.

keropok racun tikus
Sebelum ini dua beradik lelaki dilaporkan kritikal selepas dipercayai termakan keropok mengandungi racun tikus yang tergantung di pagar sebuah kebun di Kedah, Ahad lalu. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Salah seorang daripada dua beradik yang kritikal selepas dipercayai termakan keropok mengandungi racun tikus, disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi tadi.

Ibu mangsa, Nurain Hasnorizal, 25, berkata anak sulungnya, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) pada 8.40 pagi.

“Betul, anak saya sudah meninggal dunia.

“Sekarang saya tengah tunggu proses bedah siasat,” katanya menurut Sinar Harian.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik lelaki dilaporkan kritikal selepas dipercayai termakan keropok mengandungi racun tikus yang tergantung di pagar sebuah kebun dalam kejadian di Kulim, Kedah, Ahad lalu.

Ketua Polis Kulim Mohd Azizul Mohd Khairi berkata kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar itu disedari ibu mangsa pada 11 pagi selepas melihat dua beradik berusia dua dan tiga tahun itu muntah.

Wanita kemudiannya membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan ke Hospital Kulim (HK) sebelum dirujuk HPP untuk rawatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.