Terjun laut ketika bot ditahan, kru dikhuatiri lemas

Terjun laut ketika bot ditahan, kru dikhuatiri lemas

Bot ronda Maritim Malaysia mengesan dan merapati sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki melakukan aktiviti menangguk siput pada 9.50 malam Selasa.

MRSC Langkawi mengkoordinasi operasi carilamat dengan tiga bot digerakkan ke lokasi mangsa disyaki terjun ke laut. (Gambar Maritim Malaysia)
PETALING JAYA:
Seorang kru dikhuatiri lemas kerana terjun ke laut ketika Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan di 4.1 batu nautika barat muara Kuala Kedah malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Noor Azreyanti Ishak berkata bot ronda Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis mengesan bot itu dalam keadaan mencurigakan pada 9.50 malam, sebelum merapatinya kerana mengesyaki mereka sedang melakukan aktiviti menangguk siput.

“Namun, vesel tersebut melarikan diri dengan memecut laju ke arah perairan Kedah setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Semasa aksi kejar buru, seorang kru vesel disyaki bertindak terjun ke laut setelah vesel berkenaan ditahan dan disoal siasat,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengkoordinasi operasi carilamat, dengan tiga bot ditugaskan ke lokasi mangsa disyaki terjun ke laut.

Menurutnya usaha mengesan mangsa turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan beberapa bot nelayan tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.