
Norsufia Johari, 37, lebih dikenali sebagai Cik Pia yang menjadi mangsa buli siber tahun lalu berkata, insiden itu menyebabkannya takut keluar rumah kerana rasa diikuti dan diperhatikan orang, selain kemurungan sehingga susah tidur.
“Kedai saya masa ini pun dipasang banyak kamera litar tertutup (CCTV). Sekarang saya kurangkan ‘live’ berbanding dulu, takut tersalah lagi dikritik warganet. Memang sudah hilang keyakinan,” katanya kepada FMT.
Cik Pia pernah ‘mendiamkan diri’ seketika daripada media sosial dalam tempoh sukar itu walaupun tindakannya menyebabkan kerugian kepada perniagaan.
“Saya pergi kelas belajar cara tenangkan diri dan mengecilkan lingkungan rakan selain bagi tujuan dasar kerja. Syukur ‘followers’ saya amat positif dan sentiasa memberi motivasi bantu saya lalui tempoh susah itu,” katanya.
Kes buli siber bukan perkara baru di Malaysia, terkini kematian pencipta kandungan TikTok berusia 29 tahun pada 5 Julai lalu didakwa akibat dibuli di media sosial.
Pada 2022 kematian ibu kepada tiga anak berusia 44 tahun turut dikaitkan dengan insiden sama selepas dikatakan dibuli di TikTok, manakala pada 2020 wanita berusia 20 tahun didakwa meninggal dunia akibat tertekan kerana dibuli di media sosial.
Sementara itu, penceramah motivasi dikenali Akhi Fairuz Al-Jengkawi, 39, mendedahkan hampir setahun masa diperlukannya untuk ‘bangkit’ semula akibat komen negatif warganet.
Katanya, tekanan dialami menyebabkannya cemas untuk membaca komen daripada hantaran yang dibuat suatu ketika dahulu.
“Awalnya memang ‘stress’ sebab saya bukan ulas isu tidak elok, tetapi memberi teguran kepada masyarakat yang menormalisasikan kelucahan melampau. Saya banyak berkongsi kesedaran tentang pendidikan seks berdasarkan moral dan agama.
“Namun, ada dalam kalangan mereka yang anggap benda lucah itu biasa….kritik hujah saya, lebih teruk lagi melibatkan keluarga saya. Sampai terfikir salah ke saya tulis itu, bukan saya berniat jahat nak jatuhkan seseorang,” katanya.
Akhi berkata, bagaimanapun lama-kelamaan dia dapat mengatasi tekanan itu apabila ‘belajar’ mengabaikan komen berbaur negatif.