Stok simpanan air empangan di P Pinang terkawal, kata Chow

Stok simpanan air empangan di P Pinang terkawal, kata Chow

Ini termasuk baki stok simpanan air mentah di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, walaupun berada pada paras amaran.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, baki stok di Empangan Air Itam dan Teluk Bahang menunjukkan paras amaran berikutan penyelarasan oleh pihaknya. (Gambar Penang Water Supply Corporation)
PETALING JAYA:
Baki stok simpanan air empangan di Pulau Pinang terkawal dan mencukupi untuk kegunaan penduduk, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Ini termasuk baki stok simpanan air mentah di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, walaupun berada pada paras amaran, katanya.

Beliau menjelaskan, baki stok kedua-dua empangan itu menunjukkan paras amaran berikutan penyelarasan oleh pihaknya bagi mempertahankan simpanan air di Empangan Air Itam.

“Kita buat penyelarasan dua empangan itu, iaitu kita ambil banyak air daripada Empangan Teluk Bahang dan dalam masa sama lepaskan banyak air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua kerana nak pertahankan paras air Empangan Air Itam, supaya tidak turun sehingga 32%.

“Penyelarasan itu membuatkan simpanan air di Empangan Air Itam meningkat setiap bulan. Kini di Empangan Teluk Bahang, walaupun ada hujan, kita ambil banyak air dari sana untuk dirawat … simpanan air berkurang selalunya mencabar tetapi kita cuba kawalnya,” katanya di George Town hari ini, lapor Bernama

Semalam, Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) memaklumkan lima empangan menunjukkan baki stok simpanan air mentah semasa berada pada paras amaran, iaitu kurang daripada 59.99%

Lima empangan tersebut ialah Empangan Malut dan Empangan Pedu di Kedah, masing-masing sebanyak 36.10% dan 50.50%; Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Hitam, Pulau Pinang, masing-masing sebanyak 37% dan 56.70%; serta Empangan Timah Tasoh, Perlis dengan 42.60%.

Baki stok simpanan sebanyak 29.99% dan ke bawah berada pada paras bahaya, manakala paras normal adalah sebanyak 60% dan ke atas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.